Wednesday, January 17, 2007

MEMPENGARUHI ORANG LAIN

Resipi Utama

1. Manusia tetap manusia, tidak ada yang beza. Walaupun ada seribu satu perbezaan sesama manusia, mereka tetap manusia. tidak kira apa pangkat, jawatan, kelulusan, bangsa, keturunan, kadar pendapatan, dan apa jua kelebihan; dia masih lagi seorang manusia. Tuhan menyebutkan bahawa yang membezakan manusia ialah tahap keimanan dan ketakwaannya kepada Tuhan.

2. Manusia saling memerlukan. Semua orang perlukan orang lain untuk hidup. Begitu juga dengan diri anda. binalah sikap bekerjasama dan saling tolong menolong antara satu sama lain khususnya di dalam organisasi. Ia seperti anda melantun bola getah ke dinding; semakin kuat anda membalingnya, semakin kuat ia akan berpatah balik. Oleh itu, berbuat baiklah kepada semua orang.

3. Pupuk semangat kebersamaan. Sentiasa bersama dan memahami kehidupan mereka. Bina rasa mereka bersama anda, dan anda bersama mereka. Kemudian cetuskan idea perubahan daripada status yang sedia ada kepada status yang baru. Biasanya dalam keadaan sebegini, mereka akan turut manarik nafas bersedia untuk melakukan perubahan seperti anda di dalam organisasi.

4. Jatuh bangun hadapi bersama. Orang yang meminta mempunyai tahap keperluan yang lebih tinggi daripada orang yang tidak meminta. Tetapi bukanlah anda tidak perlu menolong orang yang tidak meminta. Tolonglah semua orang yang mengalami kesulitan. Lama-kelamaan, anda akan menjadi seseorang yang ‘berpengaruh’ dan ‘berkuasa’ di tempat anda.

5. Perbezaan adalah kekuatan bukan kelemahan. Setiap orang mempunyai ciri, sikap, dan personaliti yang berbeza. Hadapi semua ini secara bersemuka dan berani. Jangan pula sibuk ‘berpolitik’ di tempat kerja semata-mata kerana tidak suka atau benci kepada seseorang. Jika ada perasaan seperti itu, berbicaralah dengannya secara matang dan jujur. Jangan tikam dari belakang atau mendedahkan kelemahan orang lain.

6. Percaya pada setiap orang punyai kelebihan. Lihatlah ‘ke dalam’ diri seseorang itu. Lihatlah ciri-cirinya yang menarik dan unik. Cuba bina rasa kagum dan penghargaan terhadap ciri-ciri tersebut. Fokuskan kepada perkara-perkara yang memberikan motivasi kepada mereka. Adakah ianya turut memberikan motivasi kepada anda?

7. Aura pengetahuan. Dapatkan pengetahuan spesifik sebanyak mungkin dan gunakan untuk membina pengaruh dan kecenderungan orang lain terhadap anda. Apabila anda mempunyai sesuatu yang extra ordinary daripada orang lain, orang lian akan rasa kagum dan sentiasa mahu untuk mendengar apa yang bakal keluar dari fikiran dan mulut anda.

8. Selidik ‘suiz peradang’ orang lain. Kenalpasti apakah perkara yang boleh menyebabkan mereka tidak senang dan marah. Berhati-hatilah dalam bergaul jika anda masih belum benar-benar mengenali seseorang itu. Jika anda mendapati apa yang boleh menyebab seseorang itu marah, jangan cuba bermain api. Carilah tempat yang boleh mendatangkan manfaat seperti rasa gembira dan rasa mesra.

9. Aura kejayaan. Tunjukkan bahawa idea-idea yang anda berikan sudah terbukti mampu membawa organisasi ke arah yang lebih baik. Dengan fakta dan statistik yang ada, tiada siapa boleh menafikan bahawa anda memang benar-benar telah berbakti kepada organisasi. Ini akan membina pengaruh di kalangan rakan-rakan anda. Ini bukan bererti anda menunjuk-nunjuk, tetapi ia menjadi bukti bahawa anda bias melakukan sesuatu yang anda bicarakan!!!

Pencuci mulut
Kepercayaan orang lain terhadap anda bukannya boleh dibina dalam masa sehari sahaja. Ia perlukan masa dan kegigihan untuk mendapatkannya. Berlaku konsisten dalam banyak hal dan elakkan daripada hipokrit dengan rakan-rakan anda. Ini akan memberikan integriti dan kredibiliti kepada anda.

Perencah Tambahan
"Jika anda mempunyai pengetahuan, ajaklah orang lain menyalakan pelita untuknya." (Margaret Fuller)

No comments: